Rabu, 17 Jun 2009
AS-SYIFA BINTI ABDULLAH - PENDIRIAN SEORANG DA`E (Siri 1)
PENGENALAN As-Syifa’ binti Abdullah Ibnu Syamsy bin Kholaf Al-Quraisyiah Al-A’dawiyyah. Ada riwayat lain menyebut bahawa namanya Laila tetapi lebih terkenal dengan As-Syifa kerana ramai orang yang sembuh dengan rawatan yang diberikannya. Ibu : Fatimah binti Wahb bin Amru bin Makhzum. Suami : Abi Hasmah bin Huzaifah bin Amir Al-Quraisyi dan dikurniakan seorang cahayamata yang diberi nama Sulaiman. Wafat : Pada tahun dua puluh hijrah zaman pemerintahan Umar Al-Khatab beliau kembali menemui Penciptanya. Beliau seorang sahabiah yang mempunyai kehidupan yang sederhana serta mempunyai semangat juang yang tinggi setanding dengan sahabat-sahabat yang lain. Oleh itu marilah kita mengenalinya melalui beberapa kisah yang dipaparkan. PRINSIP DA'E 1.Yakin dengan Islam Meyakini Islam sebagai Ad-din maka ianya telah mengajar As-Syifa’ erti kehidupan sebenar dan menjana jiwanya menjadi muslimah yang tabah dalam mengharungi liku-liku perjuangan. Bahkan beliau adalah diantara Al-muhajiraat Al-awaeel yang terbilang kerana memiliki kesabaran yang tinggi, khususnya apabila berdepan dengan tekanan dan pakatan jahat Quraisy. Semua ini tidak melunturkan semangat malah meny0ebabkan iman mereka terus subur dan memberi taat setia kepada Rasulullah S.A.W. 2.Murabbi As-Syifa’ adalah antara perempuan yang memiliki akal yang bijak, cerdik, pintar serta mempunyai keistimewaan dan kelebihan juga dihormati. Rasulullah telah menyediakan untuknya sebuah rumah di Hakkakeen dan beliau menetap di rumah itu bersama anaknya Sulaiman. Di situlah tempat yang sentiasa didatangi oleh muslimatul mu’minat Madinah untuk belajar membaca dan menulis. Antara muridnya ialah Hafsah binti Umar isteri Rasulullah. Itulah sekolah yang pertama di Madinah al Munawarah. 3.Mengunakan kepakaran untuk Islam Selain dari berperanan sebagai seorang guru beliau juga mempunyai bakat dan ketokohan sebagai dukun yang boleh merawat penyakit dengan menggunakan Jampi Namlahرقية النملة yang mashur di zaman jahiliyyah. Kebolehannya itu juga turut mengundang kehadiran para sahabat ke rumahnya untuk mendapat rawatan. Namun kepakaran itu bukan hanya digunakan untuk mengaut keuntungan duniawi semata-mata tetapi ianya juga boleh dijadikan sumber bekalan untuk akhirat jua. Untuk tujuan itu maka tidak ketinggalan, beliau juga antara mereka yang menyertai pasukan mujahidin dan keluar bersama Rasulullah ke medan perang. Beliau mengambil posisi pilihannya sebagai jururawat yang mengubati tentera-tentera yang luka dan cedera di medan perang. عن الشِّفَاء بنت عبد الله، قالت: دَخَلَ عَلَىَّ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم وَأَنَا عِنْدَ حَفْصَةَ، فقال: "أَلاَ تُعَلِّمِيْنَ هذِهِ رُقْيَةَ النَّمْلةِ كَمَا عَلَّمْتِيْهَا الْكِتَابَةَ" )سنن أبى داود( As-Syifa’ menceritakan: ketika sedang aku bersama Hafsah, datang kepada kami Rasulullah dan bersabda: “Apakah kamu tidak mahu mengajarkan رقية النملة kepadaku seperti kamu mengajar-kannya (Hafsah) menulis” ?. 4.Bijak mengambil peluang Kecerdikan yang dimilikinya juga telah mengilhamkan supaya beliau mengambil peluang dan kesempatan. Rumahnya bukan hanya dilawati oleh orang sakit atau kawan rakannya dari kalangan muslimah Madinah yang datang belajar sahaja, namun turut menjadi tetamunya ialah manusia agung Baginda S.A.W. Baginda S.A.W datang bukan hanya melihat atau “stop and go” sahaja bahkan Baginda mengambil kesempatan untuk berqailulah di rumahnya. Peluang seperti ini tidak dibiarkan berlalu tanpa erti dan faedah. Bagi As-Syifa’ ini satu habuan istimewa baginya. Untuk Rasulullah berqailulah beliau menyediakan hamparan khas untuknya dan hamparan berkat itu disimpan sebagai azimat keberkatan untuknya dan untuk anak cucunya sehinggalah diambil oleh Marwan bin Malik (pemimpin bani umayyah). Pengajaran: a. Jampi dukun diharuskan selama tidak ada kalimah atau perkataan yang syirik kepada Allah dan menyalahi syarak. b. Mengambil berkat dari orang alim bukan amalan yang salah kerana ulamak adalah pewaris para nabi. 5.BERPOLITIK. Semasa pemerintahan Umar Al-Khattab menjadi khalifah, beliau tidak lupa daratan dan jauh sekali hendak menyombong diri dengan jawatan yang disandangnya. Jawatan itu amanah Allah yang mesti dijaga dengan teliti dan berhati-hati sebagai medan untuk menyumbang bakti kepada ummah. Namun kerja ini tidak mungkin dapat dilakukan oleh seorang sahaja tetapi mesti dipecahkan tugasannya kepada mereka yang berkebolehan sama ada lelaki atau perempuan. Antara contohnya ialah As-Syifa’ seorang perempuan yang dilantik Umar sebagai anggota ahli mesyuaratnya dan pengurus Hisbah (urusan amar makruf nahi mungkar. الأحكام السلطانية) khas untuk kaum hawa. Pengajaran: a. Muslimah mu’minah tidak ditegah untuk berpolitik. Mereka boleh terlibat dengan urusan politik dan aktivis masyarakat dengan syarat mendapat restu suami adalah keutamaan. 6.INSAF Seketika beliau pernah mengkritik Baginda S.A.W kerana suatu permintaan yang dihajatinya tidak dapat ditunaikan oleh Rasulullah dan selepas itu beliau pergi ke rumah menantunya – Hasanah - tiba-tiba beliau mendapati suami anaknya - Ummu Syurahbil - itu tidak menghadiri solat jamaah zohor yang telah pun masuk waktu. Kata As-Syifa’: “waktu dah masuk kamu masih di sini ?”. يا عَمَّةُ لاَ تَلُومِيْنِيْ كَانَ لِي ثَوبَانِ اسْتَعَارَ أحَدُهُمَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم. ( المستدرك عن الصحيحين 4/64 ) Jawab Hasanah: Ya A’mmaah. “Janganlah marah saya. Sebenar-nya saya ada dua helai baju sahaja, salah satunya telah dipinjam Rasulullah” Menyedari hal itu As-Syifa’ berkata: “demi ayah dan ibuku… aku telah mencercanya (Rasulullah) sedangkan inilah keadaannya...???” Pengajaran: a. Menegakkan kebenaran adalah kerja mulia yang tidak boleh diabaikan oleh lelaki mahupun perempuan. Namun demikian ianya mestilah dilakukan dengan bijak. b. Jangan segan hendak memberi teguran walaupun orang itu menantu kita sendiri jika ada perkara yang perlu diperingatkan.
Label: BERSAMA PAK NGAH DERANG |